Xpdc KInabalu 2006
Dari Mesilau Ke Puncak Kinabalu (4,101 Meter) ~ KOSMO 26 OgosĀ 2006
May 14, 2008 at 5:41 am
Taman Kinabalu, dengan keluasan 754 kilometer persegi merupakan Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site) pertama Negara. UNESCO (United Nations Educational & Cultural Organization), sebuah organisasi antarabangsa, telah menobatkan Kinabalu dengan taraf berpestrij tersebut pada Disember 2000.
Mercu tanda Taman Kinabalu adalah Gunung Kinabalu. Puncak berketinggian 4,101 meter itu adalah puncak paling tinggi di antara Banjaran Himalaya dan Kepulauan Irian Jaya. Puncak-puncak lain di Taman Kinabalu termasuklah Gunung Templer (1,133 meter) dan puncak ketiga tertinggi Negara, iaitu Gunung Tambuyukon (2,579 meter).
Gunung Kinabalu menerima lebih dari seratus pendaki setiap hari dari pelbagai latar-belakang sosio-budaya dan dari pelbagai Negara. Pendaki-pendaki masuk melalui dua laluan yang diwartakan, iaitu samada melalui Timpohon Gate di ibupejabat Taman Kinabalu atau Mesilau Nature Resorts.
Hari Pertama: Kami tiba di Mesilau Nature Resorts pada pukul 5.30 petang dengan van sewa dari ibupejabat Taman Kinabalu. Perjalanan sejauh 20 km itu mengambil masa kira-kira 45 minit menempuhi panorama indah pergunungan Kinabalu yang menghijau dan memukau pandangan.
Kami menginap di salah sebuah asrama yang mengandungi katil dua tingkat. Katil dua tingkat adalah sesuatu yang nostalgia buat saya kerana mengembalikan kenangan manis ketika menuntut di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan pada hujung 70an.
Cuaca dingin dengan hari yang mula remang-remang senja menyambut kedatangan kami yang seramai 14 orang. Keadaan sekeliling juga begitu hening, jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kotaraya yang kerap meningkatkan tekanan perasaan. Kami menanti dengan debaran hari esok, hari untuk memulakan cabaran Gunung Kinabalu.
Hari Kedua: Pagi hari yang cukup sibuk. Pendaftaran, menjelaskan bil dan taklimat oleh malim gunung. Raut wajah rakan-rakan menampakkan pelbagai reaksi, ada yang kelihatan tenang dan tak kurang juga yang menzahirkan rasa kebimbangan. Maklumlah, ada yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke sebelah situ.
Tepat pukul 8.00 pagi, pengembaraan kami bermula. Cuaca cerah dengan hembusan bayu dingin pagi, elemen-elemen yang baik untuk memulakan hari baru. Kami perlahan-lahan mendaki laluan yang sedikit curam pada awalnya, sambil menikmati pemandangan indah hutan montane.
Kami kemudiannya berhenti berehat di Pondok Schima. Telah 45 minit kami berjalan. Pondok seperti Pondok Schima, yang dilengkapi bekalan air bersih dan tandas, dibina di sepanjang perjalanan ke puncak Gunung Kinabalu oleh pihak pengurusan Taman bagi kemudahan pendaki-pendaki.
Kami berhenti tidak lama, hanya sepuluh minit. Kami seterusnya menempuh tempat-tempat istirehat lain seperti Pondok Bambu dan Pondok Nepenthes. Kami juga menempuhi jambatan gantung (kipuyut) yang dibina merentangi hulu Sungai Mesilau. Airnya mengalir agak deras tetapi jernih dan kelihatan begitu menyegarkan.
Kami berhenti di atas jambatan untuk menikmati pemandangan indah yang terhampar di depan mata. Kami juga sibuk merakam gambar-gambar digital dan analog pemandangan indah tersebut, rakaman yang akan menjadi oleh-oleh untuk tatapan kami dan rakan-rakan lain setelah pulang nanti.
Kami selepas itu melewati pula tempat istirehat berikutnya, iaitu Pondok Tikalod. Telah 3.5 km perjalanan kami tempuhi dan jam di tangan telah menunjukkan ke pukul 11.40 pagi. Kami tiba di kawasan permatang yang tidak kalah juga pemandangan indahnya dan kadang-kala kabus putih menyelimuti pandangan.
Pondok Lompoyou dan akhir sekali Pondok Magnolia kami tempuhi sebelum tiba di persimpangan laluan Timpohon Gate, laluan utama pendaki-pendaki Gunung Kinabalu. Telah pukul 1.05 tengahari dan kami telah tiba di km 4. Maknanya masih ada 2 km yang harus kami tempuh untuk menamatkan pendakian di hari pertama.
Pokok-pokok kayu yang tumbuh di kiri dan kanan laluan kelihatan terbantut dan mempunyai bentuk yang sungguh unik. Angin kencang dengan tanah yang kurang subur menyumbang kepada fenomena tersebut. Pokok-pokok tersebut mungkin kerdil, tetapi sesetengahnya telah berusia ratusan tahun, satu fakta aneh tetapi benar.
Pokok-pokok berkayu tersebut termasuklah Leptospermum flavescens dan Schima. Bunga-bunga Rhododendron dengan warna merah terang dan merah jambu menambah warna kepada landskap natural yang tiada tolok bandingnya, keindahan tidak dapat dinikmati di kawasan pergunungan lain yang pernah saya tempuhi.
Tepat pukul 2.15 petang, saya berhenti berehat di Pondok Villosa. Pondok tersebut berdiri pada paras 2,960.8 meter, atau hampir-hampir menyamai 10,000 kaki. Ada ketikanya hujan renyai membasahi bumi. Badan lembap dengan suhu tanah tinggi rendah merupakan gabungan yang menyebabkan saya menggigil kesejukan.
Tumbuhan parisitik periok kera seperti Nepenthes villosa, N. burbidgeae dan N. rajah dikatakan endemik kepada Taman Kinabalu. Namun, hanya Nepenthes villosa dan N. paniculata mudah dilihat di sebelah situ. N. villosa, dengan warna merah garang dengan saiz yang agar besar, menjadi daya tarikan kepada pendaki-pendaki Kinabalu.
Namun, apa yang dikesalkan adalah, Nepenthes lowii, salah satu spesis endemik Kinabalu kini tidak lagi dapat dilihat. Spesis unik yang agak mudah dijumpai di pergunungan Trusmadi, mungkin telah pupus di sebelah Kinabalu. Hibrid semulajadi Nepenthes lowii dengan N. edwardsiana menghasilkan Nepenthes x trusmadiensis.
Saya seterusnya menyambung pendakian dan tiba di rumah rehat Laban Rata tepat pukul 4.00 petang. Ada juga rakan-rakan yang tiba 30 minit lebih awal manakala rakan yang akhir tiba pukul 5.00 petang. Tiba masanya untuk berehat sambil menikmati makanan dan minuman panas dari dapur rumah rehat.
Bau makanan dan minuman menyebabkan kami tidak keruan. Aroma kopi panas, bihun goreng panas, dan sup panas, sungguh membuka selera. Badan letih setelah sehari suntuk mendaki ditambah dengan suhu sejuk, sudah tentu menjadikan perut minta diisi dan tekak minta diairi.
Keadaan restoran tidak pernah sunyi dari kunjungan pendaki-pendaki. Di situ, kami mungkin terpisah oleh kepelbagaian etnik dan warna kulit. Namun, matlamat kami hanya satu. Matlamat untuk menjejakkan kaki ke Puncak Low, puncak paling tinggi di pergunungan Kinabalu di paras 4,101 meter.
Kami seterusnya beransur-ansur mendaki ke tempat bermalam di Gunting Lagadan yang terletak kira-kira 100 meter di sebelah atas rumah rehat Laban Rata. Tempat bermalamnya begitu asas, hanya bilik sempit dengan 2 unit katil 2 tingkat. Namun sudah cukup bagi kami merehatkan badan yang letih mendaki sepanjang hari.
Hari Ketiga: Pukul 2.00 pagi keesokan harinya, kami sudah bangun dan bersiap-siap untuk menghadapi cabaran menjejaki laluan ke puncak Gunung Kinabalu. Hanya tinggal 2.7 km yang harus ditempuh untuk menempa kejayaan. 30 minit kemudian, pintu pagar dibuka dan seorang demi seorang mula mendaki tangga-tangga kayu.
Keadaan masih gelap dengan udara awal pagi yang begitu dingin. Bintang-bintang di langit berkerlipan ditemani bulan yang mengambang. Kami berpakaian tebal dengan penutup kepala dan sarung tangan tebal. Cahaya lampu suluh di kepala menyinari laluan yang kami tempuh.
Lama-kelamaan tiada lagi kelihatan anak-anak tangga kayu. Kami berhadapan pula dengan tebing berbatu selepas melewati km 6.5. Tali yang terpasang membantu kami mendaki dan tepat pukul 3.15 pagi, kami tiba di check-point di Sayat-Sayat. Petugas mencatat maklumat yang tertera pada teg nama yang tergantung di leher kami.
Sayat-Sayat terletak pada paras melebihi 3,000 meter (10,000 kaki). Di paras itu, adalah sukar untuk berjalan pantas dengan selesa kerana ketepuan oksijen atmosfera menjunam sebanyak 30%. Manakala di puncak Everest, dengan ketinggian 8,848 meter (melebihi 29,000 kaki), ketepuan oksijen hanya tinggal 30%!
Pendakian yang seterusnya menyaksikan kami terpaksa mengatur langkah, berjalan beberapa langkah, kemudian berhenti mengambil nafas. Begitulah seterusnya, sehinggalah kami tiba di puncak Gunung Kinabalu, tepat pukul 5.45 pagi ketika kaki langit di ufuk Timur mula memancarkan sinaran cahaya merah-kuningnya.
Ramai pendaki yang tiba lebih awal dan masing-masing cuba mendapatkan posisi paling strategik bagi menyaksikan dan merakamkan gambar matahari terbit pagi. Saya pernah berjaya merakamkan imej tersebut melalui kamera digital SLR 6.0 megapiksel, satu pemandangan indah yang tidak dapat saya lupakan hingga kini.
Puncak Low yang berketinggian 4,101 meter, puncak tertinggi pergunungan Kinabalu, sememangnya sempit. Kami terpaksa bergilir-gilir mengambil gambar bersama-sama dengan dua plet logam penanda puncak. Pendaki-pendaki kemudiannya beransur-ansur turun untuk memberi ruang kepada mereka yang baru tiba.
Kehebatan dan keindahan pemandangan dari puncak Kinabalu adalah sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Pada hemat saya, puncak Gunung Kinabalu adalah puncak gunung terindah di Malaysia. Hanya gambar-gambar yang dirakam mampu melahirkan pandangan hebat tersebut.
Tepat pukul 7.00 pagi, saya dan beberapa rakan mula meninggalkan puncak. Matahari telah terbit kira-kira sejam yang lalu. Hari telah cerah dan perjalanan turun yang perlu kami tempuh masih jauh dan memenatkan. Kami sempat mengambil gambar kenangan ketika menuruni tebing curam ke tempat penginapan di Gunting Lagadan
Kami seterusnya mengemaskan pakaian dan peralatan sejurus tiba di tempat penginapan. Kemudian kami singgah di rumah rehat di Laban Rata untuk menghadapi hidangan sarapan pagi. Pukul 10.50 pagi, saya, Rafiee dan Zu, meninggalkan Laban Rata untuk menempuh perjalanan berikutnya yang sejauh 6 km ke Timpohon Gate
Kami bertemu dengan ramai pendaki dari pelbagai bangsa. Sebelum itu, saya sempat berbual dengan seorang warga emas dari Jepun. Beliau menyatakan bahawa usia beliau telah mencecah 67 tahun. Apa yang mengagumkan, walaupun di lewat usia, beliau mampu naik dan turun Gunung Kinabalu dengan jayanya.
Saya terjumpa dengan hidupan yang merujakan, iaitu Cacing Tanah Gergasi Kinabalu. Itulah pertama kali saya berpeluang menyaksikan Anelida dengan dimensi melebihi sekaki atau 30 sm itu setelah sering mendaki dan menuruni laluan puncak Gunung Kinabalu yang penuh dengan liku-lliku.
Laluan yang kami tempuhi, samada di sebelah Mesilau maupun di sebelah Timpohon ditanda di setiap 0.5 km. Pondok-pondok istirehat juga dibina di sepanjang laluan dari Timpohon Gate hinggalah ke Kabin Sayat-Sayat. Pondok-pondok tersebut termasuklah Kandis, Mempening, Lowii, Paka dan Villosa.
Pemandangan di sebelah Timpohon Gate tidak kurang hebatnya dan laluan ini menjadi pilihan majoriti pendaki. Semasa kami mendaki melalui Mesilau, tidak sampai 20 orang berbuat demikian. Manakala di sebelah Timpohon Gate pula, angkanya mencecah melebehi seratus orang.
Kami berhenti berehat di beberapa pondok tersebut kerana menuruni laluan curam tetap meletihkan dan menyakitkan lulut. Kami juga tersua dengan porter yang mengambil upah membawa beg-beg pendaki, makanan mentah dan tong gas memasak untuk kegunaan rumah rehat di Laban Rata.
Tepat pukul 1.20 minit tengahari, kami selamat tiba di Timpohon Gate. Tamat sudah satu perjuangan dan impian untuk naik dan turun puncak tertinggi yang menjadi kebanggaan semua. Kami melewati check-point terakhir, maklumat dicatat petugas Taman Kinabalu sebagai bukti kejayaan.
Pukul 2.00 petang, kami berkumpul di ibupejabat Taman Kinabalu. Masing-masing gembira dengan sijil berwarna-warni, bukan satu tetapi dua keping. Satu untuk kejayaan menakluk Kinabalu dan satu lagi kerana mendaki melalui Mesilau. Kami kemudiannya bertolak ke Kota Kinabalu dengan senyuman kepuasan tanda kejayaan.
Kinabalu tidak pernah sunyi dari kunjungan pendaki dan mungkin kami akan datang lagi. Telah saban tahun saya mengulangi, menjejaki laluan ke puncak yang menjadi mercu tanda Taman Kinabalu. Taman Kinabalu, khazanah alam yang harus dipulihara untuk generasi akan datang













